9/4/11

Ingatan kecemerlangan



Tatkala kita hadir ke alam dunia ini, kita diazankan & diiqamahkan. Setiap hari kita mendengar azan & iqamah. Adakah kita mengambil berat tentang laungan tersebut?

Sekarang marilah kita menelusuri laungan tersebut...
Sekarang marilah kita membina kecemerlangan dengan mengerti laungan tersebut...
Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk sama-sama menghayati laungan tersebut...

Kecemerlangan perlulah diasaskan dengan MEMBESARKAN Yang Maha Pencipta. Dengan membesarkan Allah, ianya bererti kita mengecilkan selain dariNYA. MembesarkanNYA perlulah lahir dari lubuk hati. Seandainya hati kita belum lagi merasakan kebesaranNYA, maka inilah masa yang terbaik untuk kita merasakannya dengan jalan fikir & melaksana suruhannya. Dengan usaha berterusan, insya Allah hati kita akan semakin sensitif dan hidup dengan merasakan kebesaranNya.

Kecemerlangan perlulah diasaskan dengan "KALIMAH SYAHADAH" iaitu penyaksian "Tiada Tuhan Yang Disembah Kecuali ALLAH & Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH". Penyaksian ini lahir dari lubuk hati sesorang setelah ia merasakan kebesaran dan keagungan Maha Pencipta. Seandainya penyaksian kita hanya berada di lidah, inilah masa yang terbaik untuk kita menghidupkan rasa hati kita dengan penyaksian tersebut. Asas pertama melalui jalan fikir. Asas kedua melalui jalan zikir. Tanamkan kecintaan kepada ALLAH &  Rasulullah dengan memperbanyakkan zikrullah, bacaan al-Quran & selawat ke atas sebaik-baik ciptaanNya. Semoga dengan amalan yang berterusan, insya Allah hati kita akan dilimpahi dengan nur hidayahNya.

Kecemerlangan perlulah diasaskan dengan SOLAT. Setelah perasaan hati kita untuk membina kecemerlangan berkobar2 dengan merasai kebesaranNYA disusuli dengan penyaksian kalimah syahadah. Sekarang, marilah kita memanifestasikan perasaan tersebut dengan mendirikan solat. Ianya adalah asas dalam kehidupan ini. Tanpanya rosaklah kehidupan ini. Ianya tali perhubungan antara hamba & Penciptanya. Bagaimanakah kita boleh hidup tanpa menghubungiNYA. Alangkah besarnya penyesalan seandainya kita gagal menunaikannya. Semoga kita semua menjadi orang2 yang menjaga & mendirikan solat. Seandainya solat kita sekadar melepaskan batuk di tangga, inilah masa yang terbaik untuk kita menjadikan solat kita berkualiti dan bernilai. Kita boleh merujuk kepada kitab yang membicarakan tentang solat. Antaranya kitab yang dikarang oleh Imam Ghazali, Syeikh Daud Fatani & bayak lagi. Semoga solat kita bertambah kualiti & nilainya.

Setelah 3 perkara tadi di'highlight'kan, maka sekarang dilaungkan ucapan supaya kita membina kejayaan. Berusaha dengan sepenuh ikhtiar yang dikurniakan untuk cemerlang. Kehidupan ini adalah medan untuk menguji siapakah yang terbaik amalannya. Marilah kita sama2 melakukan yang terbaik dalam kehidupan kita. Samada dari aspek pembangunan diri, keluarga, kerjaya, masyarakat mahupun negara. Seandainya kita tiada keghairahan dalam kehidupan, maka sekarang adalah masa yang terbaik untuk kita mengembalikan & menyemarakkan perasaan ingin melakukan yang terbaik. Apabila kita melakukan yang terbaik, insya Allah kejayaan & kecemerlangan pasti menyusul.

Sebelum diakhiri ucapan azan, kita diingatkan semula tentang 2 asas yang terpenting...
1) ALLAH MAHA BESAR
2) TIADA TUHAN YANG DISEMBAH KECUALI ALLAH

Ianya ingatan kecemerlangan. Cemerlang dunia & akhirat. Diingatkan kita 5 kali sehari samada disedari ataupun tidak. Semoga kita semua menjadi hamba yang cemerlang. Ameen...

No comments: