6/21/08

DOA UNTUK ANAK

اللهُمَّ اصْلِحْ ذرّيَّتِي وَاهْدِهِمْ إلى سَبيل الرَّشَادِ

“Ya Allah, baguskanlah keturunanku, dan berilah mereka petunjuk ke jalan yang benar”

**********

Doa di atas adalah doa yang selalu dibaca oleh sayyid Abbas bin Abdul Aziz Al-Maliki Al-Idrisi Al-Hasani (datuk Sayyid Muhammad bin Alwi Al-Maliki, yang sangat berharap agar anaknya (Sayyid Alwi bin Abbas) dapat menjadi orang salih dan ulama yang sebenar-benarnya.

Doanya tidak sia-sia, Allah mengabulkan permohonannya. Pada tahun 1347 H, anaknya yang baru berusia 20 tahun, telah menjadi pengajar di Madrasah Al-Falah dan diberi izin mengajar di Masjidil Haram, sebuah kedudukan yang istimewa.

Doa ini dapat dibaca pada bila-bila masa sahaja dan sebaiknya dijadikan amalan wirid (amalan rutin) yakni dibaca pada setiap hari terutamanya selepas solat. Insya Allah, anak-anak kita menjadi orang yang soleh dan alim.

6/19/08

Ke Yaman

Tiga hari yang lalu, ayah menelefonku. Gembira sungguh dapat berbicara dengan ayah yang tercinta. Jarak yang jauh ini, menambahkan lagi perasaan rindu dan sayang pada keluarga dan tanah kelahiran. 

Dalam perbualan tersebut ayah menyatakan bahawa Baba Aziz akan berangkat ke Yaman dalam 2,3 minggu lagi. Hatiku berasa sungguh gembira, bumi Yaman bumi yang kaya dengan pewaris Nabi S.A.W. Ku doakan agar beliau selamat pergi dan selamat kembali. Teringin sangat dihatiku untuk belajar dengan beliau yang merupakan murid kepada Habib Alwi bin Abbas AlMaliki AlHasani. Semoga Allah memanjangkan umur beliau dan mengizinkan daku berguru dengannya.  

Ameen Ya Rabbal `Alamin......

6/15/08

دليل نجس مغلظة

Semua haiwan itu adalah suci kecuali apa yang telah dinyatakan syara’ iaitu anjing dan babi. Dalil yang menunjukkan bahawasanya anjing itu adalah najis ialah:

 (اذا ولغ الكلب في اناء أحدكم فليرقه ثم يغسله سبع مرات)


“Apabila menjilat anjing ke dalam bejana/bekas seseorang daripada kamu, maka hendaklah ditumpahkan air itu, kemudian dibasuh sebanyak 7 kali” Muttafaqun `alaih

Dalam hadith di atas, Nabi S.A.W menyuruh agar air dalam bejana tersebut ditumpahkan. Ini menunjukkkan bahawa mulut dan air liur anjing itu adalah najis. Begitu juga air yang telah dijilat oleh anjing itu adalah najis. Sekiranya air tersebut tidak menjadi najis, maka tidaklah Nabi S.A.W menyuruh agar menumpahkan air itu.

Apabila telah sabit najis mulut dan air liur anjing. Sedangkan ia adalah sebaik-baik anggota, maka anggota lain., daging, organ dalaman dsb terlebih utama najis.

Adapun najis babi, maka ia diqiaskan kepada anjing. Tabiatnya lebih teruk dari anjing, tidak harus memelihara dan mengambil manfaat daripadanya, Bahkan terdapat nas tentang haramnya dan disunatkan membunuhnya.


6/5/08

Ilmu

Betap gembiranya hatiku bila dapat berjumpa dengan Baba Aziz. Semalam beliau baru kembali ke Kelantan. Dalam pertemuan tersebut Baba Aziz telah memberikan Tausiyyah kepada kami yang hadir. Beliau membicarakan perihal ilmu. Ilmu itu terbahagi kepada 3 bahagian:

1) Ilmu akal. Iaitu ilmu yang akan diperolehi melalui akal dan kebanyakan ilmu yang diperolehi dalam pendidikan formal adalah ilmu akal iaitu matematik, bahasa, kemahiran dsb. Termasuk dalam ilmu iniu adalah ilmu usuluddin dan fiqh.

2) Ilmu haal. Iaitu ilmu yang diperolehi melalui pengalaman atau melalui percubaan. Sebagai contoh, minum air teh pastu baru dapat rasa manis. Selagi tak minum, maka manisnya takkan dapat dirasa. Nikmat makan, minum, perkahwinan dan seumpamanya yang melibatkan rasa adalah ilmu haal. ia tidak dapat diungkap oleh kata-kata.

3) Ilmu sirr. Ia adalah ilmu yang diperolehi melalui anugerah Ilahi kepada hamba2 yang bersih hatinya seperti para rasul, nabi dan auliya`nya.
Ilmu sirr ini tidak dapat diperolehi melalui cara lain kecuali melalui mujahadah dalam menghadapi kehidupan dunia ini. Semua yang berlaku dan wujud dialam ini adalah ujian buat kita, sama ada ia baik atau buruk.